Semalam, aku ke rumah abah untuk membawanya ke METRO Hospital, Sungai Petani. Aku bertolak dalam pukul 8.00 pagi. Ling dan abah dah lama menunggu. Rumah aku kat Permatang Bertam.
Indah sungguh pagi Ahad itu. Masih sunyi. Suasananya yang hening membuatkan aku teringat zaman persekolahan aku di SK Hashim Awang dulu. Pada masa itu dalam tahun 1972 hingga78. Yang membuat aku teringat sangat ialah dalam perjalanan ke rumah abah aku, tak banyak kereta yang aku seliseh. Dalam dua tiga minit baru satu. Maklumlah, cuti perayaan Tahun Baru Cina, tak banyaklah kereta yang lalu lalang. Itulah hakikatnya pada zaman aku berulang alik dari rumah aku ke sekolah pada tahun 70an.
Kami ke sekolah menaiki bas Ah Yong. Seronok sangat. Aku, Gewang, Choup Badak antara yang paling nakal atas bas. Kami sentiasa ceria dan ada saja perkara yang hendak dibualkan. Itulah zaman kanak-kanak. Hidup penuh keriangan tanpa tanggungjawab.
Jika tidak ada aktiviti atas bas, kami akan melihat keluar tingkap untuk menikmati keindahan alam. Apabila aku memandang keluar tingkap keretaku semalam, ianya seolah aku di dalam bas sekolah aku, di suatu hari; pada tahun 70an. Jiwa aku menjadi sayu.....