Sunday, November 30, 2008

ibu....

Indah sungguh wajahmu ibu. Senyum mu menenangkan jiwaku. Tutur katamu halwa telingaku. Bila aku dalam kesedihan, tak pernah kau jauhkan dirimu. Walau dalam usia mu yang usang, kau masih melayanku ibarat anak kecil mu.

Akulah yang paling manja padamu. Akulah yang paling banyak berdosa padamu.Dalam senyummu ada derita yang kau tanggung. Ada harapan yang kau inginkan dariku. Namun aku bagai tidak pernah mengerti. Aku hilang dalam dunia yang aku ciptakan.

Ibu, aku sungguh sayang padamu. Namun aku tidak pernah terdaya untuk menyatakan padamu. Hanya tidak sampai lima kali, mungkin? Ibu, aku sungguh sayang padamu.

Kini hingga mati akan aku merinduimu ibu. Maafkan aku tuhan. Aku meringankan kasihku pada ibu. Hingga kini jiwaku terseksa bila terkenangkan ibu. Kadangkala aku tidak ingin mengenangmu, bukan kerana aku lupa tapi kerana aku menyesal. Menyesal yang tak tak berkesudahan. Menyesal kerana semasa kau ada, aku jarang berada disisimu.

Kini sudah hampir tiga tahun kau meninggalkanku ibu. Aku sungguh kehilangan. Jiwaku kosong ibu. Tidak mungkin akan terubat kekosongan ini. Ya, tuhan lebih menyayangimu. Aku jua ibu. Selagi bernafas, selagi itulah aku merinduimu...ibu.

detik pun berlalu...



Bila aku ingatkan masa yang telah berlalu, terasa menggeletar jiwa ini. Mengimbau kembali siapakah aku yang sebenarnya. Melalui zaman mudaku dengan tanpa memikirkan apa akibatnya.

Namun untuk menyalahkan diriku semata-mata adalah tidak adil. Aku perlu adil pada diri sendiri. Bukan untuk menyalahkan persekitaran. Tidak sama sekali.Usia muda hanya sekali. Itulah hakikatnya.

Masa itu semuanya halal. Juga mungkin matlamat menghalalkan cara.Tanpa usia muda mana mungkin kita akan ada pengalaman. Pengalaman juga mengajar aku supaya menjadi lebih matang.

Kematangan akhirnya mengajak aku untuk menilai kembali detik-detik yang aku tinggalkan.Oh tuhan. Maafkan aku. Aku terlalu kerdil pada mu. Siapalah aku. Aku sentiasa cuba membetulkan diriku.

aku...



Aku selalu bertanya pada diriku.
Soalan yang bertukar ganti tanda soalnya.Ada saja yang bermain di kepala ini. Ada saja yang masih belum puas aku lakukan dan masih jauh lagikah perjalanan?

Hidup ini belum tentu di mana penghujungnya. Entah sebentar lagi. Entah hari ini, esok atau bila saja saatnya. Yang pasti, aku tidak tahu. Jika aku tahu, tentu amat perit untuk ku terima. Mana tidak, aku rasa, aku belum layak untuk merasa selesa.

Terlalu banyak yang perlu untuk aku betulkan pada diri ini. Jiwa, ibadat, tanggungjawab, nafsu, dan terlalu banyak untuk aku hitungkan. Hidupku ini telah berlalu agak lama. Lama hayat yang aku telah tinggalkan.

Namun persoalan yang paling besar tanda tanya dalam diri ini adalah kebahagiaan. Itu yang belum jelas aku pada diriku. Semua dalam hidup telah aku lalui. Cuma mungkin beberapa yang belum, dan akan aku lalui jua, namun kebahagiaan jiwa bagiku rasanya tiada.

Mengapa? Aku melihat orang lain gembira bersama persekitarannya, namun aku sunyi dalam keramaian. Adakah aku tidak bersyukur dengan kurniaan Illahi padaku. Aku bekerja dengan pendapatan yang dikira baik. Ada keperluan yang aku kira mencukupi. Tubuh badan sihat hingga saat ini. Namun bahagia jiwaku tiada.