Friday, August 28, 2009

jiwa ini semakin tenang...

Hari ini terlalu selesa. Jiwa ku tenang. Hujan masih turun seharian. Dingin masih terasa bagai tak akan hilang. Ramadhan baru seminggu akan berlalu.
Jiwaku merehatkan dirinya. Mengimbau kembali kenangan- kenangan yang lalu adalah kemestian. Apalah jiwa ini tanpa kenangan. Apalah diri ini tanpa pengalaman. Tanpa sedar telah 44 tahun jiwaku menumpang di bumi tuhan. Ya, 44 tahun dan masih tuhan memberiku peluang. Peluang untuk hidup tanpa rundingan. Yang pasti, nyawa ini hakNYA.
Di mana penghujung jiwa ini tiada jawapan kepastian. Lalu jiwaku ini bagai nakhoda yang melayari bahtera di lautan bergelora. Mungkin juga ada pelabuhan atau teluk yang tanpa perancangan aku singgahi. Mungkin jiwa ini segar tanpa perancangan. Atau jiwa ini kebal tanpa dirancang. Entahlah.....aku sendiri pun tiada jawapan yang pasti.
Saat ini, aku menunggu detik demi detik yang melata dengan harapan. Harapan biarlah jiwa ini menjadi lebih tenang. Ya.....jiwaku semakin tenang......tika ini...

jiwa bersyukur...

Jiwa aku bangun awal hari ini. Hujan masih turun. Renyai. Tubuhku terasa bagai berada di dalam penghawa dingin. Sejuk. Menusuk ke tulang. Lebih seminggu telah tuhan merahmati bumi dan penghuninya dengan titisan hujan.
Ini adalah hari pertama aku akan bertugas di tempat baru. Aku bersemangat pagi ini. Bagai seorang pejuang yang akan bertempur dengan gagah. Meneroka dunia baru yang membataskan waktu aku bersama insan-insan tersayang. Jiwa ini berbicara sendiri. Jiwa ini akan menjadi terlalu sibuk dan mungkin tidak sempat untuk membicarakan keresahan dalam jiwa ini.
Namun inilah rahmat untukku dariNYA. Aku terlalu mensyukuri apa jua pemberianNYA. Jiwa ku tenang......untuk ketika ini....

Monday, August 24, 2009

ketenangan jiwa...

Ramadhan menjenguk kembali. Aku terlalu bersyukur kerana dapat bersamanya. Namun aku juga baru hilangan Pak Ngah Hassan, abang aruah ibuku. Entah mengapa jiwaku terlalu terharu melihat aruah. Bagai aruah ibuku yang berada di hadapanku. Semuanya terasa masih baru. Ya, Ibuku pergi bagai sebentar tadi.....Jiwaku terlalu merinduinya....
Begitulah lumrah hidup. Tiba waktunya, kita saling meninggalkan semua orang yang tersayang, jua siapa saja yang mengenali. Mengadap Illahi adalah suatu yang pasti. Kita hanya menunggu masa. Bila? Tidak perlu kita cari dan bertanya. Yang pasti, kita akan pergi jua.
Jiwa ku terasa ketenangan yang agak drastik. Jiwaku merubah bagai tiba-tiba. Aku tidak mahu memikirkan kenapa kerana ini yang aku mahukan. Apakah Ramadhan ini yang mengubah jiwaku? Biarlah selamanya merasakan keadaan ini.
Ketenangan ini telah lama tidak menjengukku. Bagai melupakanku namun ada. Alangkah indahnya jiwa ini bagai dulu. Kenapa jawapannya perlu masa lalu???Jiwa ku inginkan

Monday, August 10, 2009

jiwa gundah....

Jiwa aku menumpang kasih jiwa yang lain. Perasaan ku terisi dengan kasih sayang yang seketika. Kemudiannya perasaan itu menghilang bila semuanya menghilangkan diri. Kembali jiwaku kesepian.
Begitulah pengulangan jiwa ini. Menumpang dan beri kasih kepada yang tidak pasti. Walau menggeletar tubuh aku mencuba berpijak dibumi nyata, namun yang nyata tetap kepuraan....atau mungkin kebenaran. Mungkin...tapi untuk menyatakan kepastian....aku sendiri keliru. Keliru yang bermain di fikiran.
Apakah menumpang kasih ini akan sebati dengan jiwaku? Melalui masa demi masa sambil mencari kasih untuk aku tumpangi? Sampai bila? Sampai bila????????????????? Aku takut untuk menyendiri. Terasa seperti telah lama aku ditinggalkan. Sunyi, hiba dan sepi menjenguk jiwaku yang berantakan. Bagai makhluk menakutkan berada di segenap sudut. Segenap pelosok. Nafasku tidak dapat aku kawal. Kalut dan lesu. Kering dan panas.
Jika beginilah keadaannya, bagaimana bisa untuk aku terus melangkah? sedetik demi detik bagai seratus tahun yang hilang. Dan aku masih disini. Belum dapat aku ciptakan tapak apatah lagi bergelut untuk ke hadapan. Jiwa kacau...pilu dan lesu...

Saturday, August 8, 2009

jiwa jalanan...

Jiwa ini masih mencari-cari. Mencari kasih abadi. Ternyata pemergian ibu meninggalkan suatu siksa dalam jiwa ini. Aku terlalu merinduinya. Teramat sangat.
Aku tidak berani menatap gambar ibu. Tidak mahu bukan kerana melupakan, tapi ia membuatkan jiwa ini semakin kosong dan tersiksa. Aku cuba meneruskan perjalanan hidup ini. Dibayangi kasih sayang arwah ibu. Aku terlalu rindu pada mu....
Aku mencipta kasih. Ya...yang akhirnya menipu diriku sendiri. Kasih sayang untuk ku rasakan namun tanpa pedoman. Kasih sayang penuh kepalsuan. Penuh kepuraan. Kenapa aku tidak dapat memberi yang terbaik dalam kasih sayang? Aku keliru. Jiwaku patah.
Kini hanya keluargaku yang memberi kekuatan jiwa diriku. Abah, kakak-kakak dan adik-adik adalah cahaya yang membantu aku membina kekuatan dalam diri. Walaupun aku sedari semuanya mungkin hilang, namun aku bahagia bila dapat melihat mereka. Aku rindukan kasih sayang mereka. Zaman lampau yang kami sering bersama. Ketawa adakalanya bermasam muka. Zaman yang tak mungkin berulang namun hidup segar dalam lipatan kenangan.
Mengenangkan semua ini membantu jiwaku meneruskan sisa hidup yang tak kesampaian.