Monday, January 26, 2009

antara kenangan terindah.....

Semalam, aku ke rumah abah untuk membawanya ke METRO Hospital, Sungai Petani. Aku bertolak dalam pukul 8.00 pagi. Ling dan abah dah lama menunggu. Rumah aku kat Permatang Bertam. 

Indah sungguh pagi Ahad itu. Masih sunyi. Suasananya yang hening membuatkan aku teringat zaman persekolahan aku di SK Hashim Awang dulu. Pada masa itu dalam tahun 1972 hingga78. Yang membuat aku teringat sangat ialah dalam perjalanan ke rumah abah aku, tak banyak kereta yang aku seliseh. Dalam dua tiga minit baru satu. Maklumlah, cuti perayaan Tahun Baru Cina, tak banyaklah kereta yang lalu lalang. Itulah hakikatnya pada zaman aku berulang alik dari rumah aku ke sekolah pada tahun 70an.

Kami ke sekolah menaiki bas Ah Yong. Seronok sangat. Aku, Gewang, Choup Badak antara yang paling nakal atas bas. Kami sentiasa ceria dan ada saja perkara yang hendak dibualkan. Itulah zaman kanak-kanak. Hidup penuh keriangan tanpa tanggungjawab.

Jika tidak ada aktiviti atas bas, kami akan melihat keluar tingkap untuk menikmati keindahan alam. Apabila aku memandang keluar tingkap keretaku semalam, ianya seolah aku di dalam bas sekolah aku, di suatu hari; pada tahun 70an. Jiwa aku menjadi sayu.....

Tuesday, January 20, 2009

telatah manusia..

Kadangkala aku tidak faham dengan telatah manusia. Walaupun banyak yang aku dafat fahami, namun ada juga yang membuatkan aku jadi meluat untuk melayannya. 

Mereka ingin difahami tapi malangnya mereka tidak boleh terima apa yang kita huraikan atau jelaskan. Bukan kita tidak faham, sekadar untuk membetulkan keadaan yang hakikatnya pada mereka tidak boleh diubah lagi. Lantas jadilah mereka orang yang hanya menerima takdir semata- mata.

Apakah dengan berputus asa akan menyelesakan diri mereka? Apakah dengan mengeluh akan dapat mengubah sesuatu keadaan? Apakah penderitaan hari ini mematikan jiwa dan pemikiran?

Aku tidak faham dengan telatah sesetengah manusia. Memberikan cadangan yang bagi aku mungkin membantu dikatakan didak memahami mereka? Jadi, tak apalah. Ikutlah saja rasa hati anda asalkan anda bahagia.

Mungkin aku perlu mengiakan apa yang mereka fikirkan agar mereka gembira. Namun aku juga ingin mereka fikirkan setakat mana kegembiraan itu akan mereka nikmati. Entahlah. Aku masih tidak faham dengan sesetengah manusia.

Friday, January 16, 2009

kongsi sikit....



Tidak keruan rasa pagi ini. Aku telah pun ke kebun aku ( kebun? Boleh ke dinamakan kebun ) Okeylah. Sebenarnya baru nak buat kebun. Dah seminggu aku cangkul dan nak tanam sayur. Namun boleh dikatakan sebagai proses permulaan.

Sebenarnya aku jemu juga tak ada kerja waktu pagi ini. Aku kerja petang. Biasanya pada hari lain kecuali Jumaat, aku pergi agak awal. Walau bagaimanapun, sebelum ke sekolah, aku akan menarah tanah dan menyangkul sedikit kat kebun. Untuk keluar peluh. Sihat juga badan nanti.

Esok lepas subuh, nak hantar adik aku Min, balik Pahang. Boleh tahan juga dari seberang Perai ke Pahang. Ahad kembali ke Penang. Okeylah. Ling pun ada sekali. Taklah jemu sangat. Hilang juga letih bila ada orang untuk berbual.

Hari ini jiwa aku agak tenang sikit. Walaupun semalam aku agak tak selesa dengan sikap sesaorang, tapi aku kawal saja perasaan aku. Maklumlah. Tahun 2009, azam aku ialah tenang dan bahagia. Namun aku paling perlukan kesihatan yang baik. Kalau bahagia, tenang pun; kesihatan tidak begitu baik, kat mana bahagia dan tenang pulak!
Jiwa ku tertanya-tanya.......

Thursday, January 15, 2009

sendirian seketika....



Kadang kala aku lebih suka untuk bersendirian. Aku perlu jauh dari segalanya. Kebisingan, kekalutan, dan apa saja yang mengganggu jiwa.
Bila bersendirian, aku dapat menghamparkan mindaku sejauh mungkin.

Bila ketenangan mula menjenguk aku yang bersendirian ini, baru aku sedari, dan memang pun telah lama aku sedari; bahawa terlalu banyak perkara yang perlu aku selesaikan. Namun persoalannya adalah mampukah aku menangani kesemuanya?

Lantas setiap detik masa yang berlalu, setiap detik itu jualah yang melalaikan aku. Aku tidak pernah menyalahkan masa yang pergi tetapi lebih menyalahkan diriku yang kaku. Jiwa ku tidak selesa lagi...

Wednesday, January 14, 2009

kanak- kanak...


Kadangkala aku terfikir untuk menjadi kanak- kanak semula. Hati sentiasa disirami kegembiraan.

Tanpa perlu memikul tanggungjawab. Bersih dari dosa dan noda. Dididik dan disayangi.

Aku bukan takut menghadapi kebenaran hidup, aku cuma meyesali kepada banyak masa yang telah aku tinggalkan.

Masa yang menjadikan aku manusia yang sekarang. Manusia yang sedang mnghitung jalan pulang. Pulang kepada yang hak.

Aku sentiasa mengharapkan pengampunannya. Dari kelemahan diri yang membentuk daging hitam di hati. Dan aku sentiasa cuba mengikisnya dengan harapan dan ibadahku. Masa yang berlalu mendewasakan aku.

Namun jika aku diberi peluang untuk kembali ke zaman kanak-kanak, aku fikir, biarlah ada ibuku bersama. Jiwaku sesekali terasa sayu ketika ini. Terlalu sukar aku menyebut ibu. Kadangkala aku cuba melupakan perkataan itu. Jiwaku terasa sayu....

Tuesday, January 13, 2009

kasih...



Aku melihat Alia, anak saudaraku memicit badan adik ku. Jam telah pun menunjukkan waktu 1.25 pagi. Adik aku, Min kadangkala meracau. Padannya sangat panas. Alia kelihatan sudah tersengguk- sengguk. Namun tangannya masih memicit tubuh Min.

Bagaimanakah kasih manusia boleh diukur? Perasaan kasih itu terlalu abstrak. Oleh itu, kita perlu melayan keluarga kita dengan mesra dan penuh rasa kasih. Kita tidak tahu siapa yang akan membantu kita suatu masa nanti.

Kadangkala kita menyayangi orang lain namun tanpa kita sedar bahawa ada orang lain yang menyayangi kita. Hati aku tersentuh. Memikirkan masa aku akan tiba untuk tidak sihat. Siapakah yang akan menjagaku nanti.

Aku tidak mahu menjangkakan sesuatu yang tidak pasti. Aku harap biarlah aku sentiasa sihat dan bahagia. Jiwaku bergoyang, namun aku tetap cuba mengatasinya.

Monday, January 12, 2009

chikungunya....



Malam ni aku tunggu adik aku, Min: kena chikungunya. Penyakit baru yang menyerang negara kita. Dari sumber yang sama iaitu nyamuk aedes.( pembawa demam denggi ). Agak teruk juga sakitnya. Memang teruk pun.

Badan dia menggigil. Sendi sakit. Badan panas. Kalau ikut orangnya, memanglah gagah perkasa. Tapi bila dah sakit, habis kegagahan kita. Itulah hakikat hidup kita. Bila kita sihat dan kuat, bersyukurlah kepada tuhan yang menciptakan kita. Apabila kita ditimpa musibah, ingatlah bahawa tuhan itu menyayangi kita. Itulah sebab musibah itu menimpa kita.

Ketika sakit inilah kita perlu mengingat kembali apa yang telah kita lakukan. Sekecil kecil kifarah tuhan adalah demam. Bersyukurlah. Aku sendiri masih cuba membetulkan diri. Dalam keghairahan mengejar dunia, kadangkala aku terlupa mengejar keabadian. Jiwaku belum lagi aman......

Saturday, January 10, 2009

2009...aku cuba tenangkan jiwaku.........



2008 adalah tahun yang paling singkat aku rasakan. Kadangkala aku rasa masih di tahun 2008. Walaupun ianya telah berlalu hampir sebelas hari, namun ianya tak terasa berlalu.

Banyak perkara yang cuba aku selesaikan. Namun jiwaku adalah keutamaan. Jika pekara jiwa tidak dapat di bereskan, sudah tentu pekara lain akan lebih berserabut. Aku sentiasa percaya bahawa suatu hari nanti aku akan menemui ketenangan.

Mungkin bukan sekarang namun tidak perlu aku terburu-buru. Aku cuba mengelak konflik yang aku hadapi. Langkah pertama ialah aku kurangkan bersuara. Aku cuba mengiakan pandangan yang mungkin aku tidak suka, namun untuk mengelak konflik, biarkan saja.

Yang penting, kegembiraan mereka tidak mengganggu aku atau hak aku. Aku fikir, pertentangan pendapat akan menserabutkan kepala aku yang botak ini.( aku memang skinhead ). Walau apapun ianya juga tidak mengganggu orang lain.

Orang kata, jangan lari dari masalah. Aku tidak pernah lari dari masalah. Jika mengelak dari masalah, apa salahnya. Aku sendiri tidak faham. Kebelakangan ini aku amat memerlukan keluargaku. Ya, saudara maraku.

Aku rasa bila bersama mereka, jiwaku menjadi tenang sekali. Semua nostalgia semasa membesar segar datang dalam ingatanku. Dan aku berasa bahagia sekali. Bagaimanapun terfikir juga sampai bila aku perlu bersama mereka. Mereka juga ada kehidupan mereka bersama keluarga.

Lantas aku mengambil keputusan, aku akan bersama mereka selagi mereka menyenangiku. Aku boleh hidup di mana saja cuma mungkin ketika ini akau bahagia bersama abah dan adik-beradik ku.