Wednesday, December 17, 2008

perpisahan......



Bukan mudah membuat keputusan untuk perpisahan. Perpisahan adalah penamatan setiap yang bertaut. Kasih, perasaan, perkongsian rasa, sedih, gembira, semuanya akan dikembalikan kepada diri kita sendiri.

Aku terlalu biasa dengan perpisahan. Aku telah pernah menghayati rasa perpisahan. Bagaimana rasanya amat sukar untuk diterangkan. Yang pasti ialah kesayuan dan kesunyian.

Namun jika difikirkan kembali, perpisahan itulah jalan yang terbaik untuk
sama- sama menyelesaikan masalah jiwa kita. Bagi aku sebenarnya. Kemungkinan juga bagi pasangan kita.

Aku tidak percaya kepada meneruskankan perhubungan semata- mata kerana anak- anak. Itu adalah alasan utama pasangan yang tidak mahu berpisah dan ianya modal paling besar untuk menghentam bekas pasangan kita.

Jika jiwa kita tidak tenang, bagaimana untuk kita menggembirakan orang lain? Bagaimana hendak kita meneruskan satu perhubungan yang berpura- pura? Namun yang pasti, ramai yang dapat hidup dalam kepuraan. Kira okeylah tu.

Jika perpisahan kita exploitasi secara adil atas dasar membahagiakan anak- anak kita ( jika ada ), janganlah kita kenang peristiwa kita semasa bersama. Lupakan apa yang dah berlaku. Tidak kiralah pengalaman pahit atau manis, suka atau tidak.

Tidakkah perpisahan itu jawapan kepada masalah perkongsian? Jadi setelah berpisah tidak perlulah memikirkan hal kita kerana yang penting itu ialah anak. Maka tugasan terbaru ialah membahagiakan anak tanpa kita ada hubungan.

Tentu bolehkan? Masakan tidak kerana semasa bercinta semuanya indah. Tiada hubungan pun. Cuma beza sekarang ialah tiada hubungan tapi ada anak. Itu saja. Jika tidak ada anak, tentu lebeh mudah.

Itu pendapat aku dalam menilai sebuah perpisahan. Hidup kita tidak lama. Masalah di mana saja. Jika kita melayan masalah emosi kita, maka perjalanan hidup kita akan tersangkut-sangkut. Tidak lancar.

Yang penting kita perlu bersikap adil pada diri dan orang lain. Bagi aku, hidup ini adalah ketentuan. Kita dikurniakan akal fikiran, maka carilah yang terbaik. Kebaikan itu juga ada di mana-mana. Itu pendapat aku....

Monday, December 15, 2008

bapa saudara kesayangan...

Berita Pak Lang kena stroke amat mengejutkan aku. Memang dia telah berusia. Dah hampir tujuh puluh tahun. Sebelum ini dia seorang yang sihat.

Pak Lang adalah abang ibu aku. Masa aku kecil dulu, aku takut pada dia. Renungan matanya sudah membuatkan aku gementar. Aku selalu tidak mahu bersemuka dengannya. Mungkin itu caranya masa muda. Cara garang.

Apabila meningkat dewasa, aku mula rapat dengan keluarga Pak Lang. Mak Lang seorang yang suka berbicara. Begitu juga dengan anak- anak Pak Lang. Kami selalu bermain bersama. Ada saja idea yang datang untuk mereka permainan.

Di kampong Pak Lang, Rantau, Seremban, aku memang telah dikenali. Rakan aku di sana selain sepupu aku yang sebaya dengan aku, Nasir; ada juga rakan lain seperti Ghani, Jimmy Dog-Dog dan seorang lagi yang masih aku ingat rupanya tapi lupa pula namanya. Oh ya..baru teringat. Aku panggil dia Mat.

Pak Lang, yang aku sedari ( setelah dewasa ), sayang pada ku ibarat anaknya sendiri. Aku sedari perasaan ini melalui cara perbualan kami dan cara dia melayan aku.Aku kagum cara Pak Lang mendisiplinkan anaknya.

Pak Lang selalu menasihatkan aku dengan memberikan beberapa contoh orang di kampongnya dan saudara maraku yang lain. Aku mendengar apa yang Pak Lang bicarakan. Jarang aku membantah.

Biasanya sebelum pulang ke kampong aku, Kampong Selamat, Penang; Pak Lang akan menghulurkan duit saku. Biasalah aku, buat- buat tidak mahu tapi ambil juga. Tentu sekali ketika itu remaja, wang adalah rezeki yang tidak akan ditolak.

Dua tiga hari lagi aku akan ke Rantau melawat Pak Lang. Aku akan ke sana bersama abah dan Razak, adik aku. Tentu banyak sekali kenangan aku kembali......

Friday, December 12, 2008

melihat diri...



Dua hari lepas, aku melawat sahabatku yang dimasukkan ke Hospital Besar Pulau Pinang. Koma. Serangan jantung mengejut.Aku pergi dengan Nayan, seorang sahabat aku dari Perlis. Nayan yang memberitahu berita ini. Aku amat terkejut.

Siapa tak kenal sahabat aku ini. Sungguh ceria orangnya. Boleh kata macam tak ada masalah. Dalam hati, itu cerita lain. Pandai- pandailah selami. Aku bukan nak kongsi cerita tentang sahabat aku yang sakit ini.

Aku insaf bila melihat dia terbaring di katil. Koma. Cuma terlihat nafas sahaja yang naik turun. Terasa betapa kita terlu kerdil pada tuhan. Betapa kegagahan kita, kebahagian kita, atau apa saja tentang kita,jika jika direntap kembali oleh yang Maha Esa, itulah noktahnya.

Aku bertanya kepada diriku. Telah jauh aku berjalan di dunia ini, apa yang telah aku hasilkan? Atau lebih banyak yang aku tinggalkan....

Monday, December 1, 2008

abah...



Aku mula mengingati abah pada usia lebih kurang lima tahun. Abah seorang guru.Biasanya aku melihat beliau ketika dia pulang dari sekolah.

Abah seorang yang berstruktur. Dia sentiasa kemas dan segak. Rambutnya bersisir rapi. Pakaiannya amat kena dengan dirinya. Dia akan mengenakan kasut ala Beatles dan sentiasa berkilat. Dia juga mengenakan topi ala Baretta. Selalunya dia akan menggayakan dirinya di hadapan cermin sebelum pergi mengajar di sekolah.

Abah sangat garang orangnya namun hatinya amat mulia bagiku. Abah akan mengutamakan keluarga dari segala. Bila cukup bulan menerima gaji, abah akan serahkan semuanya kepada ibu. Ibu akan menggunakan wang tersebut untuk keperluan dapur dan selebihnya akan diserahkan kembali kepada abah.

Apa yang aku paling ingat tentang abah ialah apabila balik dari sekolah dia tidak lupa membeli ole-ole untuk kami. Banyak mainan yang dibelikan untuk ku. Yang paling aku suka ialah mainan askar dan binatang.

setiap petang, abah akan mandikan aku ditelaga. Jirusan air telaga dan kedinginannya membutkan aku rasa terlalu bahagia. Aku sungguh sayang pada abah.