Monday, December 15, 2008

bapa saudara kesayangan...

Berita Pak Lang kena stroke amat mengejutkan aku. Memang dia telah berusia. Dah hampir tujuh puluh tahun. Sebelum ini dia seorang yang sihat.

Pak Lang adalah abang ibu aku. Masa aku kecil dulu, aku takut pada dia. Renungan matanya sudah membuatkan aku gementar. Aku selalu tidak mahu bersemuka dengannya. Mungkin itu caranya masa muda. Cara garang.

Apabila meningkat dewasa, aku mula rapat dengan keluarga Pak Lang. Mak Lang seorang yang suka berbicara. Begitu juga dengan anak- anak Pak Lang. Kami selalu bermain bersama. Ada saja idea yang datang untuk mereka permainan.

Di kampong Pak Lang, Rantau, Seremban, aku memang telah dikenali. Rakan aku di sana selain sepupu aku yang sebaya dengan aku, Nasir; ada juga rakan lain seperti Ghani, Jimmy Dog-Dog dan seorang lagi yang masih aku ingat rupanya tapi lupa pula namanya. Oh ya..baru teringat. Aku panggil dia Mat.

Pak Lang, yang aku sedari ( setelah dewasa ), sayang pada ku ibarat anaknya sendiri. Aku sedari perasaan ini melalui cara perbualan kami dan cara dia melayan aku.Aku kagum cara Pak Lang mendisiplinkan anaknya.

Pak Lang selalu menasihatkan aku dengan memberikan beberapa contoh orang di kampongnya dan saudara maraku yang lain. Aku mendengar apa yang Pak Lang bicarakan. Jarang aku membantah.

Biasanya sebelum pulang ke kampong aku, Kampong Selamat, Penang; Pak Lang akan menghulurkan duit saku. Biasalah aku, buat- buat tidak mahu tapi ambil juga. Tentu sekali ketika itu remaja, wang adalah rezeki yang tidak akan ditolak.

Dua tiga hari lagi aku akan ke Rantau melawat Pak Lang. Aku akan ke sana bersama abah dan Razak, adik aku. Tentu banyak sekali kenangan aku kembali......